Tropical Bioessence sasar jualan RM10 juta

Utusan Malaysia 10 Jun 2015

KOTA BHARU 9 Jun – Syarikat pengeluar produk berasaskan minyak pati, ekstrak herba dan tumbuhan semula jadi, Tropical Bioessence Sdn. Bhd. menyasarkan peningkatan jualan sebanyak lima kali ganda iaitu RM10 juta menjelang akhir tahun ini berbanding RM2 juta pada 2014.

Pengasas dan Pengarah Urusannya, Mohd. Khairil Said berkata, pihaknya positif sasaran itu mampu dicapai berikutan nilai jualan bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini sudah mencecah RM5 juta.

“Bagi mengukuhkan jenama Sutra dalam pasaran tempatan, kita merancang untuk mengembangkan lagi jumlah jualan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sarawak pada tahun ini.

“Sehubungan itu, kita menjangkakan penambahan sebanyak 250 ejen pada 2015 untuk mencapai sasaran 1,000 wakil jualan di seluruh negara,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Menurut Mohd. Khairil, pasaran luar negara turut menyumbang sebanyak 30 peratus kepada peningkatan jualan produk Sutra pada tahun ini.

“Produk aromaterapi dan wangian keluaran Tropical Bioessence pada masa ini telah pun berjaya menembusi pasaran Indonesia, Singapura, Brunei, Abu Dhabi (Emiriyah Arab Bersatu), Pakistan, Belanda, Kazan (Rusia) dan Kenya.

“Bagaimanapun kita berhasrat untuk memasuki pasaran Turki, Australia, Perancis dan Uzbekistan pada tahun ini dengan peruntukan RM100,000 yang diperoleh daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade),” ujarnya.

– See more at: http://www.utusan.com.my/bisnes/korporat/tropical-bioessence-sasar-jualan-rm10-juta-1.100959#sthash.JfBJPFYF.dpuf

http://www.utusan.com.my/bisnes/korporat/tropical-bioessence-sasar-jualan-rm10-juta-1.100959